Skip to main content
faq

Peta Laman

Peta Laman

Peta Laman

09 November, 2026

SAMBUTAN HARI RABIES SEDUNIA PERINGKAT NEGERI KELANTAN 2026

09 November, 2026
Tema: Stronger Together
📍 Pasir Mas | 22 Oktober 2026
 
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan dengan kerjasama pelbagai agensi strategik telah berjaya menganjurkan Sambutan Hari Rabies Sedunia Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 pada 22 Oktober 2026 bertempat di Dewan Utama Kompleks APAM Putra, Bandar Baru Pasir Mas. Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyakit rabies atau anjing gila, di samping memperkukuh pengetahuan tentang langkah pencegahan dan kawalan penyakit yang boleh membawa maut ini, sama ada kepada haiwan mahupun manusia.
 
Pengisian Ilmiah dan Demonstrasi
Program dimulakan dengan sesi ceramah yang merangkumi topik Penyakit Rabies pada Haiwan oleh Pegawai Veterinar JPV Negeri Kelantan, Dr. Ainin Syakirah binti Rosli, serta Penyakit Rabies pada Manusia oleh Pegawai Perubatan, Dr. Hazlienor binti Mohd Hatta. Para pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi kecekapan Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta demonstrasi pengendalian dan rawatan awal luka gigitan haiwan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan bersama Pejabat Kesihatan Pasir Mas dan Klinik Kesihatan Pasir Mas serta Tendong.
 
Pelancaran QR Code Aduan Kes Gigitan Haiwan
Antara pengisian utama sambutan ialah pelancaran rasmi QR Code Aduan Kes Gigitan Haiwan oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, YABrs. Dr. Yahasmida binti Yaacob (P.S.K.).
Inisiatif digital ini diperkenalkan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan aduan dan melaporkan insiden gigitan haiwan, termasuk kejadian gigitan anjing terbiar terhadap manusia. Kemudahan ini diharap dapat membantu memperkukuh sistem pelaporan serta menyokong tindakan susulan oleh pihak berkaitan.
 
Majlis turut diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Awam Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, YABrs. Dr. Norhaliza binti Abdul Halim, sebelum dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Mas, YABrs. Tuan Fazrul Azan bin Mohd Basari.
 
Pelbagai Aktiviti dan Perkhidmatan untuk Masyarakat Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti dan perkhidmatan turut disediakan kepada orang ramai, antaranya:
▪️ Pameran berkaitan penyakit rabies dan kesihatan haiwan.
▪️ Perkhidmatan vaksinasi rabies.
▪️ Pemeriksaan kesihatan serta khidmat nasihat haiwan kesayangan.
▪️ Pendaftaran dan temu janji pemasangan mikrocip.
▪️ Pendaftaran dan temu janji perkhidmatan pemandulan kucing.
▪️ Sesi interaksi dan soal jawab bersama pengunjung.
 
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi, rakan strategik, penceramah, petugas, sukarelawan dan masyarakat yang telah memberikan kerjasama serta sokongan dalam menjayakan sambutan ini. Rabies bukan sekadar isu kesihatan haiwan, tetapi tanggungjawab bersama. Melalui kerjasama bersepadu antara kerajaan, agensi berkaitan dan komuniti, usaha pencegahan serta kawalan rabies dapat diperkukuh demi melindungi kesihatan awam dan kesejahteraan haiwan.
🤝 Stronger Together — Bersama Membanteras Rabies, Demi Keselamatan Semua.

SEO-KELANTAN

CDO