09 August, 2026
KUNJUNG HORMAT JABATAN PERKHIDMATAN VETERINAR NEGERI KELANTAN KE PEJABAT YANG BERHORMAT MULIA TENGKU KAYA PERKASA SETIAUSAHA KERAJAAN KELANTAN
09 August, 2026
KOTA BHARU | 4 Ogos 2026 - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan telah mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Yang Berhormat Mulia Tengku Kaya Perkasa Setiausaha Kerajaan Kelantan sebagai platform memperkukuh hubungan strategik antara jabatan dan Kerajaan Negeri dalam memajukan sektor veterinar serta industri penternakan di Negeri Kelantan. Delegasi JPVNK diketuai oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Dr. Yahasmida binti Yaacob, bersama Dr. Khairun Anisa binti Mat Yazid, Ketua Seksyen Perancang dan Khidmat Sokongan, serta Pn. Nurasmira binti Zain Anuar, Penolong Pegawai Veterinar, Bahagian Regulatori.
Dalam sesi tersebut, Pengarah telah membentangkan status semasa jabatan yang merangkumi aspek perjawatan, kedudukan kewangan dan hasil jabatan, status kenderaan, pelaksanaan Bancian Ternakan Ruminan Negeri Kelantan Tahun 2026, pelaksanaan Enakmen Pendaftaran Ternakan Ruminan Negeri Kelantan 2024 (EPTR 2024), pelaksanaan Perlesenan Ladang Unggas serta pelbagai inisiatif pembangunan sektor veterinar di negeri ini.
Selain itu, Pengarah turut memaklumkan bahawa Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia dijangka akan mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berhormat Mulia Tengku Kaya Perkasa Setiausaha Kerajaan Kelantan dalam masa terdekat bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam pembangunan sektor veterinar dan industri penternakan.
Yang Berhormat Mulia turut berkongsi pandangan dan hala tuju strategik bagi memperkukuhkan pembangunan industri penternakan Negeri Kelantan, antaranya melalui pewujudan zon penternakan mengikut kesesuaian jajahan, pembangunan Kawasan Veterinar serta cadangan pewartaan kawasan sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) bagi memperluaskan peluang memperoleh peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan.
Turut dibincangkan ialah isu pengukuhan perjawatan jabatan, termasuk keperluan pengisian jawatan Pegawai Veterinar bagi memperkasakan penyampaian perkhidmatan veterinar kepada rakyat. Yang Berhormat Mulia turut memaklumkan bahawa isu kekurangan pegawai akan diberikan perhatian mengikut keupayaan semasa. Selain itu, beliau juga menyatakan komitmen untuk membantu membuat tindakan susulan berhubung permohonan tukar lantik Pegawai Veterinar daripada lantikan Persekutuan kepada lantikan Negeri.
Pada sesi yang sama, Pengarah JPVNK turut menjemput Yang Berhormat Mulia untuk menghadiri Hari Veterinar Negeri Kelantan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026. Yang Berhormat Mulia menyatakan persetujuan untuk hadir tertakluk kepada kelapangan jadual rasmi. Semoga hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan terus diperkukuhkan demi memacu pembangunan industri penternakan yang lebih mampan, berdaya saing dan memberi manfaat kepada rakyat serta komuniti penternak di Negeri Kelantan.