09 August, 2026
Majlis Penutup Road to MAHA 2026 Zon Timur
09 August, 2026
Kota Bharu, 8 Ogos 2026 I Majlis Penutup Road to MAHA 2026 Zon Timur telah berlangsung dengan penuh meriah petang tadi, sekali gus melabuhkan tirai penganjuran program yang menghimpunkan pelbagai agensi serta pemain industri agromakanan di Zon Timur. Majlis penutup tersebut telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, yang turut meluangkan masa mengunjungi reruai pameran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK).
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YB Dato’ Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin bin Tuan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan serta YBhg. Datuk Dr. Mohd Noor Hisham bin Mohd Haron, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.
Kehadiran tetamu kenamaan tersebut di reruai JPVNK telah disambut oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Dr. Yahasmida Yaacob, bersama Dr. Khairun Anisa binti Mat Yazid, Ketua Seksyen Perancang dan Khidmat Sokongan JPVNK, En. Mohd Hafizan bin Mohamad, wakil Pejabat Perkhidmatan Veterinar Jajahan Kota Bharu, serta warga kerja Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan yang turut serta dalam program tersebut.
Kunjungan tersebut turut menjadi platform untuk memperkenalkan peranan dan inisiatif JPVNK dalam memperkukuh sektor veterinar, pembangunan industri ternakan serta usaha memastikan keterjaminan makanan negara. Penganjuran Road to MAHA 2026 Zon Timur sepanjang tiga hari ini telah membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat sektor agromakanan, selain memberi peluang kepada agensi-agensi di bawah KPKM untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti.
JPVNK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan Road to MAHA 2026 Zon Timur. Semoga jalinan kerjasama yang terhasil terus diperkukuh demi pembangunan sektor agromakanan dan industri ternakan yang lebih mampan. Jumpa anda di MAHA 2026!