Skip to main content
Peta Laman

Peta Laman

Peta Laman

Peta Laman

09 August, 2026

YB EXCO PERTANIAN RASMIKAN KONVENSYEN PENTERNAKAN LESTARI NAIMbif 2026

09 August, 2026
 
Bachok, 3 Ogos 2026 – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh pembangunan industri ternakan ruminan menerusi penganjuran Konvensyen Penternakan Lestari NAIMbif 2026 yang menghimpunkan penternak, agensi kerajaan dan pemain industri dalam usaha memperkasa pembangunan industri lembu pedaging yang moden, lestari dan berdaya saing.
Majlis yang berlangsung di Sudara Beach Resort, Bachok telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin bin Tuan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Dr. Yahasmida Yaacob, pegawai-pegawai jabatan, wakil agensi serta kira-kira 150 peserta yang terdiri daripada penternak dari seluruh Negeri Kelantan.
 
Konvensyen yang memasuki penganjuran kali kedua ini merupakan kesinambungan kejayaan konvensyen pertama pada 16 November 2025 dan menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama, perkongsian ilmu serta pembangunan industri lembu pedaging di negeri ini. Program dimulakan dengan Taklimat Halatuju dan Pembangunan Program NAIMbif yang disampaikan oleh Dr. Khairun Anisa binti Mat Yazid, Ketua Seksyen Perancang dan Khidmat Sokongan. Taklimat tersebut mengupas pencapaian, hala tuju dan perancangan pembangunan Program NAIMbif bagi memperkukuh industri pembiakbakaan lembu hibrid di Kelantan.
 
Dalam ucapan aluannya, Dr. Yahasmida binti Yaacob berkata konvensyen ini menjadi platform penting untuk menghimpunkan penternak bagi berkongsi pengalaman, membincangkan cabaran semasa dan memperkukuh sistem pengeluaran lembu pedaging di bawah Program NAIMbif. Beliau memaklumkan bahawa penyertaan lapan (😎 penternak baharu menjadikan keseluruhan 26 penternak menyertai Program NAIMbif. Bagi memperkukuh pelaksanaan program, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan pembangunan RM1 juta di bawah RMK-13 (2026–2030) menerusi Projek Pembiakan Pintar Ternakan.
 
Selain itu, sebanyak RM95,445 diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur kandang melibatkan lima penternak NAIMbif. Di bawah Program Pembangunan Ternakan Ruminan pula, seramai 34 penternak menerima manfaat 50 ekor lembu hibrid, termasuk tiga penternak NAIMbif, dengan nilai keseluruhan bantuan sebanyak RM117,390.
Jabatan turut memperkenalkan Sijil Lahir NAIMbif bagi menggalakkan perekodan kelahiran ternakan secara lebih sistematik. Sebanyak 65 ekor anak lembu menerima sijil tersebut bersama insentif bantuan makanan ternakan secara one-off bernilai RM10,000. Konvensyen turut menampilkan promosi produk hiliran seperti keju dan produk berasaskan daging hasil keluaran penternak NAIMbif.
 
Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berhormat Dato' Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin bin Tuan Ismail menegaskan bahawa pembangunan Program NAIMbif berteraskan penghasilan makanan halal, berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat selaras dengan tuntutan Islam. Yang Berhormat berkata sejak diperkenalkan pada tahun 2017, Program NAIMbif telah berkembang menjadi antara inisiatif strategik Kerajaan Negeri dalam menghasilkan baka lembu pedaging hibrid berkualiti melalui teknologi pembiakan, pengurusan pemakanan yang sistematik dan amalan penternakan lestari.
 
Yang Berhormat turut berkongsi pencapaian cemerlang Kelantan dalam bidang pembiakbakaan ternakan apabila merekodkan 15,753 perkhidmatan permanian beradas (AI), 22,535 pemeriksaan kebuntingan dan 9,935 kelahiran anak ternakan hasil AI sepanjang tahun 2025, sekali gus merupakan pencapaian tertinggi di Malaysia. Selain itu, Yang Berhormat turut merakamkan penghargaan kepada penternak Kelantan yang mengharumkan nama negeri pada Himpunan Lembu Sado Malaya 2026 di Kedah. Hampir 99 peratus lembu yang dipertandingkan merupakan lembu yang dilahirkan dan dibangunkan di Kelantan, sekali gus membuktikan keupayaan negeri sebagai antara pengeluar utama baka lembu hibrid berkualiti di negara ini.
 
Sebagai simbolik perasmian, Yang Berhormat turut menyempurnakan pelantikan peserta baharu Program NAIMbif, penyampaian bantuan kepada peserta serta penyerahan Sijil Premis Bebas Penyakit kepada penternak yang layak. Konvensyen diteruskan dengan Forum "Penternak Lestari Pedaging Berkualiti" yang menampilkan Yang Berhormat Dato' Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin bin Tuan Ismail bersama YBrs. En. Abdullah bin Mamat, penternak NAIMbif. Forum tersebut menekankan bahawa kejayaan penternakan bergantung kepada pengurusan yang sistematik, pemilihan baka berkualiti, penggunaan teknologi pembiakan, amalan biosekuriti dan disiplin penternak. Program NAIMbif disifatkan sebagai pemangkin kepada pembentukan penternak moden yang mampu mengembangkan industri daripada sektor huluan hingga hiliran.
 
Konvensyen diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada panel forum, sesi bergambar dan jamuan makan tengah hari sebagai penutup kepada program yang diharapkan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan industri lembu pedaging yang mampan, berdaya saing dan menyokong agenda keterjaminan makanan negara. Tahniah kepada semua peserta dan penerima pengiktirafan. Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan akan terus melaksanakan usaha mengenal pasti dan mencari bakal peserta baharu Program NAIMbif dalam kalangan penternak lembu hibrid di seluruh Negeri Kelantan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai penternak lembu pedaging hibrid. Bantuan pembangunan secara bersasar akan difokuskan kepada peserta Program NAIMbif yang memenuhi kriteria ditetapkan bagi memastikan peruntukan Kerajaan dimanfaatkan secara optimum dalam memperkukuh industri lembu pedaging hibrid serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

SEO-KELANTAN