11 December, 2025
Perbincangan Berkaitan Pelaksanaan Langkah Pencegahan dan Kawalan Penyakit Rabies di Negeri Kelantan
11 December, 2025
Satu sesi perbincangan berkaitan pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penyakit Rabies di Negeri Kelantan telah diadakan pada 11 Disember 2025 bertempat di Bilik Katjang, Ibu Pejabat JPVNK, Kubang Kerian. Perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Pengarah JPVNK, Dr. Yahasmida binti Yaacob, dengan penglibatan pegawai-pegawai berkaitan bagi menyelaras strategi dan tindakan bersepadu dalam usaha membendung penularan penyakit Rabies.
Perbincangan ini diadakan bagi memperkukuhkan kerjasama antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Kelantan dan veterinar swasta di negeri Kelantan dalam aspek pengurusan, pelaporan serta kawalan penyakit Rabies. Antara perkara utama yang dibincangkan dan dipersetujui ialah cadangan permohonan peruntukan bagi pembangunan aplikasi khusus pelaporan kes gigitan haiwan. Aplikasi ini dijangka memudahkan pelaporan segera oleh veterinar swasta serta meningkatkan kecekapan pemantauan data kes gigitan yang berisiko melibatkan Rabies.
Mesyuarat turut bersetuju untuk menubuhkan satu WhatsApp Group rasmi melibatkan DVS Kelantan dan veterinar swasta sebagai saluran komunikasi pantas bagi perkongsian maklumat kes Rabies dan gigitan, hebahan arahan semasa serta penyelarasan tindakan kecemasan. Selain itu, DVS Kelantan akan mengatur satu sesi mesyuarat bersama pihak Penguatkuasa Farmasi, National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) bagi membincangkan isu berkaitan peraturan, pendaftaran produk veterinar serta penggunaan vaksin dan ubat oleh veterinar swasta.
DVS Kelantan juga akan mengemas kini pangkalan data veterinar swasta di Kelantan merangkumi maklumat klinik, pegawai veterinar, perkhidmatan mengikut spesies haiwan serta kemudahan dan peralatan yang tersedia. Data ini akan dimanfaatkan sebagai rujukan penting dalam penyelarasan tindakan kawalan penyakit dan pengurusan kes.
Mesyuarat menekankan kepentingan kerjasama strategik antara DVS Kelantan dan veterinar swasta dalam memastikan pengesanan awal, pelaporan tepat serta kawalan berkesan penyakit Rabies dan lain-lain penyakit di negeri Kelantan.