ungu   biru   turkois      
enms
A- A A+

Mengenai NAIMbif

Tag SPLWK:

Apakah Yang Maksudkan Dengan NAIMbif?

NAIMbif adalah satu sistem pengeluaran lembu pedaging yang mendapat  akreditasi berasaskan kepada penggunaan  induk kacukan Charolais generasi F2 dan F3 sebagai keperluan minimum yang telah mencapai tahap piawaian kualiti yang ditetapkan, dipelihara secara gerompok semi-intensif bagi tujuan pembiakan  secara tertutup (bridlot)  bagi menghasilkan daging yang halal, berkualiti, bersih dan suci berasaskan hukum syarie selaras dengan konsep Bertani Satu Ibadah.

Falsafah  skim pengeluaran NAIMbif  adalah sebagaimana firman Allah -

'Makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman'

(Surah Al-Maaidah –Ayat 88)                                                                           

Sejauh Manakah NAIMbif Mampu Memenuhi Dasar Bertani Satu Ibadah?

NAIMbif merupakan satu kaedah dimana penternakan lembu hibrid dijalankan dengan tumpuan untuk menjadikannya sebagai satu pekerjaan yang mulia dan diceburi ramai, sama ada pada skala komersial, semi-komersial atau secara kecilan dengan harapan untuk : 

  • Melahirkan masyarakat penternak yang menghayati Islam dan konsep ibadah dalam kehidupan dan pekerjaan seharian
  • Memupuk minat rakyat untuk menceburi bidang penternakan dengan memanfaatkan segala sumber alam, potensi, tanah-tanah terbiar dengan aktiviti yang dapat mengoptimumkan penjanaan ekonomi.
  • Melahirkan masyarakat penternak yang sedar dan bertanggungjawab terhadap kebajikan haiwan, kesejahteraan persekitaran, kejiranan, pengeluaran produk yang halal dan selamat untuk dimakan.
  • Melahirkan masyarakat penternak yang sedar akan kepentingan amalan penternakan yang mengutamakan kualiti melalui penggunaan sistem yang cekap dan produktif.

Kenapa Induk Baka Kacukan Charolais Generasi F2 dan F3 Yang Menjadi Pilihan Untuk Penjenamaan Sistem Pengeluaran Lembu   NAIMbif?

Induk baka kacukan Charolais generasi F2 dan F3 menjadi keperluan minimum sebagai asas untuk pembiakan lembu NAIMbif kerana :

  • Baka Charolais merupakan baka yang paling popular dan menjadi pilihan utama di kalangan penternak-penternak lembu hibrid di negeri Kelantan semenjak semen baka ini mula diperkenalkan pada tahun 1974 lagi.
  • Induk baka kacukan Charolais telah terbukti mampu menghasilkan anak-anak kacukan yang berkualiti dan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.

 

b2

b3

  •       Baka kacukan ini telah semakin stabil dan dapat menyesuaikan diri dengan cuaca, suhu  dan persekitaran negeri ini.
  •       Induk Charolais menunjukkan sifat keibuan yang baik, jinak serta mudah diurus.
  •       Lembu betina kacukan Charolais mencapai umur matang yang cepat, sehingga mampu menunjukkan tanda-tanda untuk mengawan seawal umur satu tahun.
  •       Induk kacukan Charolais F2 dan F3 menunjukkan prestasi pembiakan yang baik dengan purata  jarak lahir tidak melebihi  360 hari.
  •       Induk kacukan Charolais F2 dan F3 sesuai untuk dikacuk dengan semen dari mana-mana baka berprestasi tinggi dengan ciri otot berganda dengan kadar  mengalami kesulitan semasa melahirkan anak (distokia) yang rendah.
  •       Peratus lapah yang boleh mencapai 60 peratus  di kalangan penjantan yang disembelih pada umur 2 tahun 6 bulan.

 

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Penternakan Lembu Secara Bridlot?

Penternakan lembu secara bridlot bermaksud induk-induk lembu dipelihara dan dibiakkan secara intensif atau semi-intensif dalam kawasan yang  berpagar atau terkawal dengan diberi makan dari rumput yang ditanam, bahan hijau atau sisa pertanian yang dirawat untuk menambah nilai nutrisi, disamping konsentrat sebagai makanan tambahan.

Apakah Tujuan Sistem Pengeluaran Lembu  NAIMbif   Diperkenalkan?

Sistem pengeluaran lembu  NAIMbif diperkenalkan bertujuan untuk mewujudkan satu sistem pengeluaran lembu pedaging kacukan bagi menghasilkan lembu pedaging dan produk pedaging yang berkualiti, halal, bersih , suci dan bebas dari penyakit merbahaya untuk kegunaan semua pengguna bagi melahirkan masyarakat yang bertaqwa dan sihat.

Sistem NAIMbif  akan memberi tumpuan kepada mentransformasi bidang penternakan lembu kacukan yang diamalkan secara kecil dan sederhana  oleh penternak-penternak di negeri Kelantan kepada kaedah yang boleh disesuaikan dengan keperluan masa hadapan tanpa mengenepikan aspek-aspek keunikan  amalan sedia ada yang boleh memberi nilaitambah kepada pembangunan industri ternakan.

Sistem penternakan NAIMbif ini juga diharap menjadi perangsang kepada pertumbuhan industri pedaging semi komersil dan kecilan negeri Kelantan supaya lebih berdaya saing, berdaya maju, berdaya tahan serta bersepadu sepenuhnya melalui perkhidmatan veterinar yang berkualiti.

 

Apakah Matlamat Utama  NAIMbif?

Menjadikan negeri Kelantan unggul  sebagai pengeluar utama baka lembu kacukan yang berkualiti dan produk pedaging halal yang utama di Malaysia.

 

Apakah Objektif utama NAIMbif ?

  •  Untuk menjadikan projek lembu pedaging kacukan sebagai penjana sumber ekonomi kepada masyarakat petani Negeri Kelantan melalui amalan penternakan yang tersusun, efisien dan berdaya maju..
  •  Untuk mengeluarkan lembu pedaging yang mencapai piawaian kualiti yang ditetapkan untuk tujuan baka dan daging berdasarkan konsep Bertani Satu Ibadah.
  •  Untuk menyediakan kaedah pengiktirafan mengikut tahap piawaian yang ditetapkan kepada pengusaha lembu pedaging di bawah amalan pengeluaran lembu NAIMbif

 

 

Apakah Keistimewaan Jika Menyertai Skim Akreditasi NAIMbif?

  • Skim akreditasi yang dibangunkan ini akan melibatkan penganugerahan logo dan sijil yang menjadi lambang pengiktifaran dan kualiti terhadap produk yang dikeluarkan. Penganugerahan logo akan diberi kepada semua pengusaha mengikut bidangusaha masing-masing. Mana-mana penternak atau usahawan ternak yang mendapat pengiktirafan ini akan  memegang hak  memiliki, mengawalselia dan mempromosikannya.
  •   Peserta berpeluang untuk mendapat khidmat bimbingan dan rundingcara secara berterusan dalam bidang pengurusan, pemakanan, pembiakbakaan, kesihatan dan ekonomi ladang melalui Program Pengembangan Veterinar.
  • Ternakan dan hasilan ternakan yang lebih berkualiti dapat dikeluarkan.
  • Bidangusaha menjadi  lebih efisien melalui penambahbaikan pengurusan sumber secara sistematik dan efektif.
  • Akreditasi yang diterima dapat membantu meyakinkan pembeli atau pengguna terhadap kualiti ternakan serta produk yang dihasilkan.
  • Peluang untuk mendapatkan margin keuntungan yang lebih besar melalui harga jualan ternakan dan hasilan ternakan yang lebih tinggi.

 

Siapakah Yang Layak Untuk Menjadi Peserta  Skim NAIMbif?

Pengusaha ternakan lembu kacukan yang  terdiri daripada penternak kecil, usahawan ternak, agensi kerajaan atau sektor swasta yang mengusahakan ternakan secara bridlot di negeri Kelantan.

 

Apakah Syarat-Syarat  Untuk Menyertai  Skim NAIMbif?

Peserta yang ingin menyertai Amalan Pengurusan Lembu NAIMbif hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:-

  • Mempunyai keluasan  tapak projek yang mencukupi bagi menampung keperluan minimum kawasan kandang dan tanaman rumput  mengikut jumlah induk.
  •  Telah melibatkan diri dalam bidangusaha penternakan lembu kacukan lebih dari 2 tahun
  • Bidang usaha dijalankan di Negeri Kelantan
  • Memiliki sekurang-kurangnya 5 ekor induk kacukan baka Charolais dengan komposisi minimum induk dari generasi F2 dan F3 sebanyak 60 peratus.
  • Ternakan hendaklah milik pengusaha sendiri dan berdaftar di bawah Enakmen Lembu/Kerbau Negeri Kelantan Tahun 1968.
  • Bersetuju mematuhi segala etika dan peraturan yang ditetapkan dengan penuh disiplin dan tanggungjawab.
  • Bersedia untuk berkongsi  maklumat asas yang diperlukan di bawah program ini  secara jujur bersama  Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan.

 

Bagaimanakah Pengeluaran Lembu  NAIMbif  ini Dikatakan Sebagai Penternakan Masa Depan Kita?

  • Sistem pengeluaran lembu NAIMbif   memberi tumpuan kepada penggunaan kawasan pertanian secara cekap dan efektif sesuai dengan saiz  kawasan pertanian yang semakin mengecil.
  • Sistem pengeluaran lembu NAIMbif  mengamalkan usaha secara mesra alam tanpa memberikan kesan negatif  terhadap persekitaran. Ternakan yang dipelihara perlu seimbang dengan persekitaran supaya tidak menjejaskan ekosistem, rupa bentuk tanah dan tumbuhan. Bahan hijau serta sisa pertanian dikitar semula untuk dijadikan makanan ternakan manakala sisa buangan diolah secara sistematik supaya tidak mencemarkan persekitaran.

 

Apakah Output Dari Sistem Pengeluaran Lembu  NAIMbif  ini?

Sistem pengeluaran lembu NAIMbif  ini akan menghasilkan dua bentuk output utama secara langsung :

  • Lembu-lembu betina muda yang berkualiti dan sesuai untuk tujuan pembiakan
  • Lembu-lembu jantan muda yang sesuai untuk tujuan penggemukan bagi penghasilan daging primer yang berkualiti

Lembu betina muda yang berkualiti dan sesuai untuk tujuan pembiakan dan lembu jantan muda yang sesuai untuk tujuan penggemukan bagi penghasilan daging primer yang berkualiti merupakan output utama NAIMbif

 

Kejayaan penjenamaan Lembu NAIMbif adalah berkat dari sokongan pihak Kerajaan, hasil usaha yang berterusan oleh kakitangan yang berkemahiran serta komitmen dan minat yang mendalam di kalangan  penternak.

 

Apakah Kriteria-Kriteria Fizikal Yang Memenuhi Piawaian Yang Ada Pada Induk-Induk Lembu NAIMbif?

  • Berat minimum 260 kilogram pada umur matang 18 bulan
  • Purata jarak kelahiran maksimum 360 hari
  • Ketinggian kerangka badan minimum 1.22 meter
  • Panjang kerangka badan   minimum 1.5 meter
  • Lebar tulang pelvik minimum 32 sentimeter
  • Panjang organ pembiakan minimum 18 sentimeter (ukuran secara perabaan)
  • Ukur lilit ovari minimum 3 sentimeter (ukuran secara perabaan)

Lebar, tinggi dan panjang kerangka badan diukur  bagi menentukan induk-induk NAIMbif memenuhi kriteria yang ditetapkan.

 

Bagaimana Cara Untuk Mengenali Ternakan NAIMbif?

  • Jabatan akan menggunapakai  sistem pendaftaran yang teratur yang  dapat diterima pakai serta boleh dinilai sepanjang masa.
  • Semua ternakan  NAIMbif mestilah mempunyai pengenalan tetap berpandukan Kod Ladang yang dikeluarkan.Ternakan akan diberi pengenalan fizikal melalui salah satu kaedah atau gabungan cara berikut:-

*  Tag telinga kiri

* Branding dengan besi panas/sejuk

* Cacah(tattoo) ditelinga kanan

* Microchip(transponder)

 

Adakah Induk Lembu NAIMbif  Ini Merupakan Baka Yang Baharu Diperkenalkan ?

Induk lembu NAIMbif bukanlah baka yang baharu diperkenalkan. Ianya merupakan induk-induk terbaik dan memenuhi piawaian  yang ditetapkan, yang dipilih dari baka kacukan Charolais yang dipelihara oleh penternak-penternak yang berpengalaman di negeri Kelantan.

 

Bagi Pembeli Yang Berminat, Dimanakah  Bekalan Lembu NAIMbif Ini Dapat Diperolehi?

Peminat lembu NAIMbif boleh mendapatkan sumber  bekalan ternakan dari ladang-ladang yang telah mendapat persijilan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan.

 

Berapakah Jumlah Bayaran Dikenakan Untuk Menyertai Skim NAIMbif?

  •  Tiada bayaran yang dikenakan bagi menyertai Skim NAIMbif.

 

Bagaimana Sumber Makanan Lembu NAIMbif  Diurus?

  • Sumber utama makanan NAIMbif  ialah rumput yang ditanam atau bahan hijau yang berkualiti dan bebas dari bahan toksik disamping konsentrat atau lain-lain makanan tambahan.
  • Bekalan air mestilah sentiasa mencukupi untuk keperluan ternakan dan berpunca dari sumber yang bersih

 

Berapakah Keluasan Minimum Bagi Menampung Satu Unit NAIMbif?

Satu unit NAIMbif yang mengandungi minimum lima ekor induk memerlukan kawasan seluas 0.4 hektar (1 ekar) untuk tanaman rumput serta binaan kandang dan lain-lain keperluan asas.

Kawasan tanaman rumput serta bahan hijau yang mencukupi diperlukan untuk sumber makanan lembu dalam sistem NAIMbif

 

Siapakah Yang Akan Bertanggungjawab Dalam Pengurusan Skim Akreditasi Lembu NAIMbif ?

  • Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan akan menubuhkan badan pengawasan akreditasi bagi menentukan kelayakan untuk penganugerahan, penarikan, pengauditan serta pemantauan akreditasi NAIMbif secara berterusan.

 

Adakah Sistem Pengeluaran Lembu NAIMbif  Ini Mampu Mencetuskan Lain-Lain  Aktiviti Ekonomi?

  • Slain dari menghasilkan anak-anak lembu kacukan yang berkualiti untuk tujuan pembakaan dan pedaging, NAIMbif  juga mampu merangsang pertumbuhan aktiviti huluan seperti pemprosesan bahan hijau dan sisa pertanian untuk sumber makanan ternakan, aktiviti hiliran seperti pengeluaran baja organik, perusahaan makanan tradisional berasaskan produk daging, kulit dan sebagainya.
  • Penternakan NAIMbif boleh digerakkan bersama dengan lain-lain aktiviti  secara bersepadu bagi memacu sektor agropelancongan di negeri Kelantan.

Kod Qr

dvs kel2

Kaunter Pelawat

Today119
Yesterday296
This week2207
This month119
Total126462

2024-12-01

Waktu Operasi

WAKTU OPERASI PEJABAT :
Ahad - Rabu : 8:00 AM - 5:00 PM
(Rehat 1:00 PM - 2:00 PM)

Khamis : 8:00 AM - 3:30 PM
(Rehat 1:00 - 2:00 PM)
------------------------------------------------
WAKTU OPERASI KLINIK :
Ahad - Rabu : 8:30 AM - 4:00 PM
(Rehat 12:00 PM - 2:30 PM)
Khamis : 8:30 AM - 12:00 PM

Jumaat, Sabtu & Cuti Umum : TUTUP

Penafian

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini.

Privacy Policy

© Copyright {2020} Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan. All Rights Reserved.